Khamis, 13 Februari 2014

Jenis-jenis simen

a) Simen Portland Biasa

Simen ini merupakan jenis yang paling banyak digunakan dalam industri binaan. Ia sesuai digunakan untuk semua kerja sama ada untuk kerja-kerja kasar, pembinaan struktur, kerja-kerja kemasan dan sebagainya. Dari segi harga, simen ini adalah jauh lebih murah berbanding dengan simen-simen jenis lain.

b) Simen Portland Cepat Keras

Simen jenis ini digunakan untuk kerja-kerja yang memerlukan kesegeraan seperti kerja-kerja dalam keadaan sejuk atau tempat yang berair. Simen ini juga biasa digunakan dalam kerja-kerja membaiki jalan raya, tempat  penakungan air, saluran bawah tanah dan sebagainya. Komposisi simen jenis ini adalah sama dengan simen Portland biasa kecuali zarahnya diproses lebih halus. Kekuatan yang dicapai pada umur 4 hari adalah lebih kurang sama dengan simen Portland Biasa yang berumur 28 hari. Satu kebaikan penggunaan simen jenis ini ialah acuan konkrit boleh ditanggalkan lebih awal dan anggota struktur yang dibina boleh dibebankan lebih awal untuk pembinaan selanjutnya.

c) Simen Cepat Membeku

Simen jenis ini khas digunakan untuk kerj-kerja pembinaan dalam air yang mengalir. Lazimnya simen jenis ini mula membeku 5 minit selepas inya dibancuh dengan air dan boleh mengeras dalam tempoh 30 minit selepas ia ditempatkan. Penggunaan simen ini memerlukan pengendalian yang cekap bersesuaian dengan keadaan kerja yang dijalankan. Simen ini walaupun cepat membeku, kadar pegerasannya adalah sama dengan simen Portland Biasa.

d) Simen Haba Rendah

Simen jenis ini mempunyai kadar pencapaian kekuatan yang perlahan tetapi tahap kekuatan muktamadnya adalah sama dengan Simen Portland Biasa. Walau bagaimanapun, kenaikan suhunya semasa membeku adalah lebih rendah berbanding dengan simen Portland Biasa. Simen ini biasanya digunakan untuk membina empangan, tembok penahan, jambatan dan sebagainya.

e) Simen Lebih Alumina

Simen jenis ini mempunyai ciri-ciri yang jauh berbeza dengan simen Portland Biasa. Semasa pembuatannya, ia dicampur dengan bahan-bahan campuran terutamanya bahan alumina, iaitu sebanyak 30% berbanding dengan simen Portland Biasa yang hanya mengandungi 10% alumina. Simen ini mempunyai kadar pengerasan yang lebih cepat serta pencapaian kekuatan yang lebih awal. Simen ini lazimnya mula membeku 2 jam selepas ia dibancuh dan mengeras 2 jam selepas ia mula membeku. Dalam masa 24 jam selepas ia dibancuh, simen ini boleh mencapai kekuatan muktamad sehingga 75%.

f) Simen Warna

Simen warna dihasilkan dengan menggunakan bahan-bahan mentah yang terpilih, iaitu batu kapur yang tulen dan tanah liat kaolin (China clay). Proses pembuatannya adalah lebih kurang sama dengan pembuatan simen Portland, cuma langkah-langkah dan penjagaan yang rapi hendaklah diambil terutama sekali semasa proses pembakarannya. Pembakaran simen dilakukan dengan menggunakan minyak, tidak seperti simen Portland yang menggunakan arang batu.